MIER kaji daya maju tawaran RM50 bilion bagi pengambilalihan PLUS

Tan Sri Dr Kamal SalihKUALA LUMPUR, 6 Nov — Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) sedang mengkaji daya maju cadangan daripada kumpulan individu untuk pengambilalihan pegangan sebanyak 51 peratus oleh Khazanah Nasional Bhd dalam Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Malaysia Bhd.

Pengerusi MIER Tan Sri Dr Kamal Salih berkata kumpulan pemikir itu sedang menilai daya maju cadangan tawaran pembelian sebanyak RM50 bilion daripada kumpulan individu dari Malaysia.

“Kajian itu dijangka selesai pada akhir tahun. Kami akan mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan bagi pihak rakan kerjasama apabila ia siap,” katanya kepada pemberita di luar wacana kecemerlangan bertemakan, “Shared Prosperity Economy: Lessons and Measures” di sini hari ini.

Wacana itu merupakan anjuran bersama Akademi Profesor Malaysia dan MIER.

Kamal berkata penetapan kos bagi pembiayaan daripada cadangan baharu itu lebih rendah berbanding yang lain yang mahu meningkatkan bon untuk membiayai pengambilalihan itu.

Tanpa mendedahkan butiran individu yang terlibat, beliau berkata tawaran itu dapat membantu kerajaan mengurangkan kadar tol.

“Kerajaan dalam dilema berikutan ia telah berjanji dalam manifesto pilihan raya untuk menghapuskan tol. Bagi berbuat demikian mereka perlu menjadikannya sebagai hak awam atau menswastakan tol (lebuh raya). Bagaimanapun, kerajaan tidak mampu membeli balik atau melepaskan pegangan disebabkan pelaburan tinggi yang telah dibuat,” katanya.

Kamal berkata terdapat ramai rakyat Malaysia yang kaya, terutamanya yang mempunyai aset di luar negara, yang boleh mengambil alih PLUS dan mengurangkan kadar tol untuk menampung kos penyelenggaraan.

“Wang kita di luar negara berjumlah RM1 trilon, hampir bersamaan dengan hutang kita. Jika wang itu dapat dikembalikan, sebahagiannya boleh digunakan untuk mengambil alih beberapa aset ini,” katanya.

Kamal berkata sumber ini perlu dipulangkan kepada negara untuk menjana perindustrian baharu bagi memacu ekonomi dan memberi impak yang baik kepada rakyat.

Ini sejajar dengan Pelan Penyelidikan Crouching Tiger MIER bagi tempoh 2019-2023 yang terdiri daripada tiga matlamat utama, iaitu menangani ketidaksamaan pendapatan dan kekayaan, mewujudkan ekonomi yang progresif iaitu bernilai tinggi dan berasaskan pengetahuan serta untuk negara muncul sebagai ekonomi utama di Asia, katanya.

Sumber: Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s