Ladang ternakan ayam kecil-kecilan punca masalah lalat. – Dr Abdul Aziz Bari

IPOH, 7 Nov — Ladang ternakan ayam yang diusahakan secara kecil-kecilan di daerah Manjung merupakan antara punca masalah lalat yang membelenggu kehidupan penduduk di sekitar Segari, tidak dapat ditangani secara menyeluruh.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata berdasarkan kajian yang dilakukan Jabatan Veterinar Perak, terdapat kira-kira 700 reban ayam yang beroperasi secara kecil-kecilan di daerah tersebut.

“Bagaimanapun, pihak veterinar tidak dapat mengambil tindakan kepada pengusaha kerana ada di antara mereka yang tidak mempunyai lesen dan hanya menternak ayam di bawah 5,000 ekor.

“Masalah lalat ini bukan sahaja berlaku di Segari tetapi di tempat lain seperti di daerah Kerian dan di Taiping kerana di situ ada pengusaha melaksanakan ladang ternakan ayam secara kaedah tradisional dan tidak mempunyai sistem ternakan secara sistematik malah ada yang membuang bangkai ayam di ladang kelapa sawit sahaja,” katanya pada sidang media di sini.

Abdul Aziz berkata terdapat 143 ladang ayam yang beroperasi secara sah di daerah itu yang membekalkan kira-kira 75 juta ekor ayam setahun yang mana pengeluaran itu menampung keperluan bekalan negara sehingga 15 peratus.

Abdul Aziz berkata Jabatan Veterinar Negeri dan pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah lalat termasuk telah mengeluarkan 64 kompaun atas pelbagai kesalahan kepada pengusaha ladang ternakan di daerah itu di bawah Enakmen Perladangan Unggas 2005.

“Kita akan mengadakan pertemuan dengan wakil penduduk, pertubuhan bukan kerajaan serta ahli majlis untuk menangani masalah lalat yang telah berlaku sejak 20 tahun lalu kerana kita perlu lihat masalah ini secara holistik, semua pihak perlu terlibat bagi menangani masalah lalat,” katanya.

Kira-kira 500 penduduk kampung di Segari, sudah tidak tahan ‘hidup’ bersama lalat sejak 20 tahun lepas dan mendesak kerajaan negeri menyelesaikan masalah itu.

Bukan sahaja mengganggu kegiatan harian, kehadiran serangga itu yang didakwa ekoran kewujudan ladang ternakan ayam berhampiran kawasan penempatan penduduk, juga menjejaskan punca rezeki mereka.

Seorang penduduk, Mazeli Md Desa, 44, dari Kampung Batu 10 berkata kediamannya terletak kira-kira 100 meter dari ladang ternakan ayam itu, dan dia sekeluarga sudah tidak mampu bertahan dengan masalah lalat yang mengganggu kehidupan seharian.

“Lalat mengganggu kami siang dan malam sehingga hendak makan pun kami terpaksa pakai kelambu untuk mengelak makanan dan minuman dihinggap lalat, pintu rumah memang tak boleh nak buka sebab mahu elak lalat masuk ke dalam rumah,” katanya.

Sumber: Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s