Malaysia tewaskan Tajikistan 1-0

Aksi pemain Malaysia ketika perlawanan persahabatan menentang Tajikistan di Kuala Lumpur malam tadi.

KUALA LUMPUR: Rancangan Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak negara, Tan Cheng Hoe untuk mencari formula terbaik menjelang dua perlawanan penting menentang Thailand dan Indonesia nampaknya membuahkan hasil, apabila Malaysia menewaskan Tajikistan 1-0 dalam perlawanan persahabatan Tier 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Penyerang Johor Darul Ta’zim, Muhammad Safawi Rasid yang dimasukkan pada minit ke-62 menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-72 selepas mendapat umpanan rakan sepasukan, melakukan satu gerakan solo dan menggelecek seorang pemain pertahanan Tajikistan sebelum merembat masuk bola ke dalam gawang lawan.

Malaysia melalui laluan getir dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 setelah tewas dua daripada tiga perlawanan Kumpulan G kepada Emiriah Arab Bersatu di tempat sendiri dan Vietnam di Hanoi, bulan lepas.

Kemenangan ke atas Tajikistan yang berada di ranking ke-116 dunia memberikan Malaysia lonjakan semangat yang diperlukan sebelum bertandang ke Thailand pada Khamis ini dan menjadi tuan rumah kepada Indonesia pada 19 Nov ini.

Pada perlawanan malam tadi, lima pertukaran daripada barisan pemain dalam perlawanan menentang Vietnam dilakukan Cheng Hoe menunjukkan peningkatan dalam serangan dan pertahanan, membolehkan Malaysia menguasai perlawanan dengan baik dengan kedudukan seri tanpa jaringan sehingga waktu rehat.

Keputusan Cheng Hoe membawa masuk Safawi dan Brendan Gan mengubah aksi Malaysia dan memberi tekanan kepada Tajikistan.

Safawi mempunyai peluang untuk Malaysia mendahului 1-0 pada minit ke-63 tetapi malang bola hasil sepakan percumanya terkena palang atas kiri tiang gol lawan.

Bagaimanapun, Malaysia tidak memanfaatkan sepenuhnya kelebihan bermain di gelanggang sendiri dan berhadapan 10 orang pemain Tajikistan di bawah bimbingan Usmon Toshev, selepas penjaga gol Rustam Yatimov, dilayangkan kad merah pada minit ke-46.

Pengadil Razlan Jofri Ali membuat keputusan itu selepas Yatimov meluru keluar dari kotak penalti dan menyelamatkan bola menggunakan tangan.

Tajikistan juga berpeluang melakukan jaringan apabila penyerang Fathulloev Fathullo mempunyai beberapa peluang memecah kebuntuan tetapi percubaannya pada minit ke-18 diselamatkan penjaga gawang Malaysia Mohd Khairulazhan Mohd Khalid sementara percubaannya di luar kotak penalti pada minit ke-30 tersasar.

Sumber: Free Malaysia Today

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s